Wednesday, June 9, 2010

Info Biznes (Produk Peknga)

Peknga semakin digemari.

ALOR SETAR 7 Mei - Sebut sahaja peknga, sudah pasti ramai yang tidak mengenalinya.

Ia bukan sahaja 'janggal' di kalangan penduduk kota malah masyarakat desa khususnya generasi muda juga sudah tidak mengenali makanan itu.

Peknga yang merupakan singkatan daripada perkataan 'tempek dalam belanga' merupakan makanan tradisonal yang cukup popular di kalangan penduduk pada suatu ketika dahulu di utara Semenanjung termasuk di Kedah.

Jika di Kedah ia dikenali dengan peknga, penduduk negeri lain pula memanggilnya dengan nama tempek, roti kesot atau lempeng.

Malah penulis sendiri menyebutnya sebagai tempek, iaitu makanan kegemaran sewaktu kecil ketika menunggu masa untuk bersarapan pagi.

Ia cukup lazat, apatah lagi di makan ketika panas. Malah penulis sendiri tidak mahu 'terlepas' peluang menikmati pek nga hasil air tangan ibu kerana makanan tradisi seumpama itu sukar dicari di gerai-gerai makanan.

Peknga merupakan hasil campuran tepung, kelapa atau pisang, air, garam dan gula yang kemudiannya dibalut dengan daun pisang sebelum dibakar garing.

Bagi penggemar peknga yang dihasilkan dengan pisang, biasanya ia dimakan begitu sahaja tetapi jika digunakan campuran kelapa, makanan tersebut sesuai dicecah gulai atau kari ikan kembung.

Aroma peknga yang dibalut daun pisang ketika dibakar sudah cukup untuk membuatkan sesiapa sahaja meleleh air liur, itu belum lagi merasai kelazatan makanan itu.

Namun entah kenapa, makanan itu kini sukar untuk dicari di kedai-kedai makanan sedangkan ia masih mempunyai ramai penggemar, malah peknga boleh dikomersialkan kerana rasanya yang lazat.

Atas kesedaran itu, Abd. Razak Ahmad, 44, mengambil inisiatif untuk memperkenalkan peknga supaya penggemar yang mengidam untuk menjamah makanan tradisi itu mempunyai tempat untuk menikmatinya.

Bagi yang tinggal di bandar raya ini, mereka boleh merasai keenakan peknga kelapa panas dengan mencecah kari ikan kembung di gerai milik Abd. Razak, RaFa's yang terletak di Medan Kota, Persiaran Sultan Abdul Hamid di sini.

Abd. Razak berkata, dia telah berniaga di gerai tersebut sejak 1980-an tetapi dengan menjual roti canai sahaja sebelum tercetus idea untuk menghasilkan peknga kelapa pada awal tahun ini.

"Saya memang penggemar pek nga namun sukar untuk mencari makanan ini dan disebabkan itu saya mengambil keputusan untuk menjual peknga di gerai saya.

"Istimewanya peknga di gerai saya ialah kuah gulai ikan kembung yang sengaja dipanaskan selama dua hari untuk memekatkan kuahnya supaya ia mudah dicecah dengan peknga," katanya ketika ditemui di gerainya di sini hari ini.

Ujarnya, bahan asas untuk membuat pek nga cukup ringkas dan mudah diperoleh namun agak sukar mendapatkan bekalan kelapa yang sesuai bagi membuat pek nga.

Jelasnya, kelapa yang digunakan untuk menghasilkan peknga perlu diambil di bahagian tengahnya sahaja bagi mengelak tempurung kelapa berwarna hitam yang boleh menjadikan rasa peknga kurang enak.

"Kerana sukar mencari kelapa yang sesuai, akhirnya saya membeli kelapa daripada seorang rakan dan memarut sendiri kelapa tersebut di gerai saya.

"Ramuan peknga dibancuh sendiri oleh isteri saya, Fadzillah Yaakub yang turut membantu saya di gerai ini," katanya.

Abd. Razak memberitahu, harga satu set juadah tersebut iaitu sebiji peknga bersama kari ikan kembung ialah RM2 dan pelanggan pasti tidak akan kecewa dengan keenakan rasa makanan tradisi itu.

''Peknga yang dijual di sini memang besar dan berbaloi dengan harga yang dikenakan kepada pelanggan.

"Sejak hari pertama dijual di sini, memang peknga akan selalu dicari oleh para pelanggan yang inginkan kelainan untuk bersarapan pagi," katanya.

Tambah Abd. Razak, gerainya dibuka mulai pukul 6 pagi sehingga 11 pagi setiap hari kecuali hari Rabu dan selain peknga, pelanggan boleh menikmati roti canai, capati, roti jala, murtabak dan sebagainya.

Selain menjual peknga di gerainya, peniaga itu juga mengorak langkah untuk memajukan lagi perniagaannya dengan menjual peknga sejuk beku.

Idea untuk menjual peknga sejuk beku datang daripada seorang rakannya yang juga seorang ahli perniagaan berjaya iaitu Datuk Zubir Zabidi.

"Zubir adalah rakan sejak kecil dan dia sentiasa memberikan galakan kepada saya untuk memajukan lagi perniagaan makanan yang diusahakan oleh saya.

"Kini peknga, roti canai dan capati yang dihasilkan oleh saya dijual dalam bentuk sejuk beku untuk memudahkan para pelanggan menikmati makanan ini pada bila- bila masa," katanya.

Mereka yang mahu mendapatkan peknga sejuk beku mereka boleh menghubungi Abd. Razak di talian 012-4820864.

Dirujuk dari Utusan Malaysia.
Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Autoshow Alor Setar