Isu pengganguran masih lagi dibincangkan di sana sini. Penggangguran bukan sahaja lagi terbatas dikalangan mereka yang kurang pendidikan tetapi kini sudah menjalar dikalangan mereka yang berpendidikan tinggi. Namun begitu 15 peratus daripada tenaga kerja di negara ini adalah terdiri daripada warga asing. Salah satu strategi kerajaan untuk menangani masalah pengangguran adalah dengan menggalakan tenaga muda negara menjadi usahawan. Ini bermakna mereka perlu mengubah mentaliti bahawa hanya dengan menjadi pekerja dan makan gaji sahaja mereka boleh menyara hidup mereka. Generasi muda di negara ini digalakan untuk menjadi usahawan. Apabila perkataan usahawan diucapkan seringkali pula kita akan membayanagkan satu perniagaan yang besar, berjaya dan usahawan itu adalah orang orang yang kaya. Tanggapan sedemikian tidak boleh dinafikan kerana istilah usahawan seringkali dikaitkan dengan perniagaan. Dengan sifat manusia moden yang materialistik maka tidak hairanlah ramai orang yang ingin jadi usahawan, tetapi berapa pula yang berjaya.
Pernahkah kita mendengar istilah usahawan dikaitkan dengan isu-isu sosial. Sekarang ini telah wujud istilah usahawan sosial. Usahawan sosial adalah individu yang mempunyai penyelesaian inovatif atau innovative solution kepada masalah sosial yang yang sedang dihadapi oleh masyaratnya.
Seorang usahawan adalah individu yang merangsangkan kemajuan ekonomi dengan mencari cara baru atau cara yang lebih baik untuk melaksanakan sesuatu. Seperti juga usahawan yang mengubah sesuatu perniagaan melalui kemahiran berniaganya, usahawan sosial bertindak sebagai agen perubahan kepada masyarakatnya.
Seseorang usahawan sosial akan mengambil apa juga peluang dan kesempatan yang terbuka, yang mana tidak disedari oleh orang lain, untuk memperbaiki sistem masyarakat, mengilhamkan pendekatan baru dan juga memikirkan cara penyelesaian yang baru untuk memperbaiki lagi masyarakat disekelilingnya. Jika seorang usahawan perniagaan berjaya membuka satu perniagaana baru, seorang usahawan sosial akan memikirkan satu penyelesaian baru kepada sesuatu masalah sosial dan melaksanakannya bagi memperbaiki lagi keadaan masyarakatnya.
Usahawan sosial mempunyai misi sosial. Kekayaan atau keuntungan bukan misi usahawan sosial. Disebaliknya usahawan sosial akan lebih mementingkan pencapaian dan impak misi sosialnya. Seorang usahawan sosial harus menyampaikan ideanya secara mesra, mudah difahami, beretika dan mendapat sokongan ramai untuk membolehkannya mengerakkan sebanyak mungkin orang ramai menerima dan melaksanakan ideanya. Dalam kata lain, seorang usahawan sosial mestilah berupaya menyakin dan mengembelingkan seramai mungkin tenaga agen perubahan tempatan untuk sama-sama melaksana dan mencapai matlamat menangani isu-isu sosial dalam sesebuah masyarakat.
Diantara usahawan sosial yang terkenal adalah Mary Montessori dari Itali yang telah mengilhamkan pendekatan Montessori dalam pendidikan kanak-kanak pra sekolah. Di India pula terdapat uVinoba Bhave yang telah berjaya membantu rakyat yang tidak mempunyai tanah dengan mengagihkan hampir tujuh juta ekar tanah. Beliau adalah pelopor Land Gift Movement.
Dalam usaha pembangunan belia di Malaysia, kita dapati banyak pendekatan perlu diolah semula untuk menjadikannya lebih inovatif, menarik dan pragmatik kepada situasi sekarang dan juga citra diri generasi muda dalam era globalisasi sekarang ini. Ada ketikanya kita sering kali mengulangi apa yang telah kita lakukan sejak bertahun-tahun tanpa banyak mempersoalkan keberkesanan pendekatan pembangunan belia yang kita laksanakan. Kita akui bahawa tidak semua pemimpin sosial dengan sendirinya boleh menjadi usahawan sosial.
Usahawan sosial perlu mempunyai ciri-ciri tertentu yang bersifat pragmatik dan inovatif. Sudah sampai masanya dalam usaha kita menangani pelbagai masalah generasi muda kita bagi menggalakkan kelahiran usahawan sosial untuk memberikan nafas baru dalam pendekatan pembangunan belia. Pendekatan pembangunan belia melalui keusahawanan sosial akan lebih mantap kerana ia akan dibimbing dan dilaksanakan oleh usahawan sosial yang seharusnya mempunyai ciri berikut:
- memilih misi untuk mewujud dan mengekalkan nilai sosial
- mengiktiraf dan sentiasa mencari peluang baru untuk mencapai misinya
- berterusan terlibat dalam proses inovasi, adopsi dan pembelajaran
- melaksanakan secara berani tanpa had dengan sumber yang terhad dan sedia ada
- menunjukkan kebertanggungjawaban yang tinggi kepada mereka yang mendapat khidmatnya dan juga kepada pencapaian misinya. Perlaksanaan program pembangunan belia memerlukan ciri-ciri input usahawan sosial.
Program tersebut memerlukan pendekatan yang inovatif yang mana kita perlu mencari pendekatan seterusnya membangunkan model pembelajaran yang baru. Jika tidak pun, kita tidak perlu mencipta sesuatu yang benar-benar baru. Yang perlu kita dapat menyesuaikan pendekataan dan misi kita dengan situasi baru agar ia menjadi relevan pada situasi masa kini.
Memanglah dalam setiap usaha baru akan ada unsur kegagalan. Kebanyakan daripada kita akan mengulangi yang lama dan takut berubah kerana kita takut pada kegagalan. Usahawan sosial seperti usahawan lain tidak takut gagal, mereka akan terus mencuba kerana kegagalan pada usahawan bukanlah satu tragedi tetapi adalah satu usaha pembelajaran.
Usahawan sosial menilai prestasinya berdasarkan kemajuan yang dicapai dari aspek sosial dan pengurusannya tidak semata-mata kepada proses dan sains sesuatu program yang dilaksanakan. Bersediakah kita untuk menjadi usahawan sosial?. Anda sendiri bakal menentukannya.
Prof Dr Samsudin A Rahim